Sunday, December 6, 2020

Jadi Pelajar Semula

Assalamualaikum dan Hallo!

Kalau aku tulis HLP, mesti view naik nanti. Hehe. 

Minggu lepas keputusan HLP Sesi 2021 dah keluar. Alhamdulillah kawan aku berjaya. Tapi ada juga yang belum rezeki. Takpa nanti boleh cuba lagi. 

Petang tadi aku dok godek emails dan clean up semua, sejak Gugel bagitahu dah limit space, jadi delete lah emails yang tidak penting. (Penulisan aku ni tak guna Bahasa Melayu dengan tatabahasa yang betul. Bacaan santai macam kita sembang-sembang je ok). 

Lepas buka emel semua baru teringat aku ada blog. Dua tahun dah sepi. Dulu tahun 2010 gigih menulis kat Friendster. Masa tu cerita pasal YT Dungun la yang banyak. Lepas tu makin suram-suram dan suram. 

Jadi kembali cerita HLP. Alhamdulillah aku dapat tahun lepas dan sekarang sedang melanjutkan pelajaran di universiti awam. Target dalam hidup ini sekurang-kurangnya adala sijil Master. Syukur permohonan untuk belajar tu dipermudahkan. Aku penjawat awam, bila sesi 2019 ramai kawan-kawan aku berjaya, jadi aku bulatkan tekad untuk mohon pada 2019 untuk sesi 2020. 

Masa tahun kami mohon, terlalu sedikit pilihan untuk mode coursework. Aku belum cukup yakin untuk buat mode research sepenuhnya. Tujuan utama aku sambung pengajian untuk dapatkan "official" knowledge, luaskan networking dengan kawan-kawan dari sektor swasta, bergaul dengan para academician, dan bertukar pendapat la. Alhamdulillah sebulan lebih belajar walaupun secara maya dek kerana COVID19, pelbagai latar belakang juga telah kutemui. 

Masa mohon dulu siapa yang ambil mode coursework, permohonan HLP lebih ringkas dari yang aku yang kena pilih mode MIXED MODE sebab kluster dan sub kluster pengajian yang aku pilih masa tu JPA tawarkan hanya MIXED MODE dan FULL RESEARCH sahaja. Jadi proposal aku perlu ikut format Master Full Research. Berpeluh la nak siapkan proposal sebab aku sangat bingung tentang Pernyataan Masalah. Sebelum pergi interview siap bentang depan member aku yang dah ada doctorate. Aku memang sulit nak paham apakah itu pernyataan masalah, kadang baca paham kadang baca ke laut dalam jadinya. 

Tiba hari interview, sebab mixed mode jadi interview sorang-sorang, coursework bertiga-tiga. Jadi hari Jumaat di Institut Latihan di Bangi berdebar-debar lah aku masa registration untuk interview. Dengan member tak ada, tak kenal orang, cuma sapa seorang pegawai perempuan yang sedang sibuk menelaah. Aku sebab hari sebelumnya dah kena tibai dengan member-member aku jadi aku taknak kusutkan fikiran, aku santai sahaja. Tiba-tiba nama kena panggil. Ya Salam...orang pertama weh. Panel ada tiga orang. 2 lelaki dari wakil Universiti dan seorang perempuan wakil dari Kementerian/Agensi Kerajaan. 

Jadi soalan yang aku dapat ialah..naaa..bukan soalan tapi rezeki aku dapat panel yang sangat baik yang bagi tips instead of soalan. 

(i) Kalau nak buat kajian dan ada guna survey, berapa jumlah survey yang perlu (kawan aku cite at least 300 sample, ada kajian mengenai jumlah sample yang sesuai);

(ii) U kena pergi jumpa lecturer siap-siap bincang proposal bila masuk nanti, setahun tu dah kena bincang kalau tak nanti u susah. Kalau pregnant lepas tu bersalin pun u still kena proceed tau. 

Then mereka tanya lagi survey tu nak buat macam mana, edar macam mana semua. Tapi masa tu memang kau dah 50-50 la sebab mmg sis lemah ye bab-bab research method ni. 

Panel perempuan pula tanya soalan dalam English, basically simple question dia tanya course yang kita nak amik dan relates dgn kerja kita. 

So far sebelum apply, aku tanya kawan-kawan yang dah pernah ambil. Permohonan HLP tu kalau boleh biarlah konsisten. Tips untuk dapat kalau master course yang kita nak ambil relates dengan degree tak pun relates dengan current job scope. Ada kawan yang ditegur tak konsisten dgn panel sebab tahun ni apply nak ambil kos A, bila tak dapat tahun depan apply nak ambil kos B pula. Jadi konsistensi tu ditanyalah oleh panel apa tujuan nak sambung belajar sebenarnya. 

Jadi untuk sesiapa yang nak sambung belajar tu, pilih betul-betul course apa, pastikan anda clear apa yang anda mahu ya!

Doakan sis dipermudahkan dapat grad dengan cemerlang ya. Amanah dan hadiah yang diberi ini perlu digalas dengan baik. 


My Faculty 


P/S: Belajar dengan gigih.



Monday, May 15, 2017

Langit Biru

Langit membiru yang mempesonakan

TTC - Hehe, sesiapa yang mengenali aku, pastinya tahu aku sudah menikah hampir 6 tahun. Iya, rezeki untuk mempunyai zuriat masih belum tapi Tuhan itu adil dan Maha Mengetahui, banyak rezeki lain yang dikurnia.

Kepada yang sedang TTC, jika benar-benar pingin si comel, perlu lebih serius, jumpa gynea, follow up, jaga makan, jaga berat badan. Rohani jasmani kena seiring.

Bapak doktor dulu juga pesan, banyakkan ibadat, doa dan solat.

Usah runsing, Dia tahu, semua rahsiaNya :)

Thank you Tuhan for the beautiful sky this evening. Mesmerising.

Sunday, May 14, 2017

Hijrah

Tomorrow marks the 3rd week working at the new place.

Mood masih takdak mari. Tak in. Tempat lama kerja 7 tahun lebih, jadi memang payah nak lupakan. Last desk aku kerja sgt menarik, learning curve sangat menyeronokkan. But, doniya, tiada yang kekal, sampai masa kita kena move forward untuk kemajuan kerjaya.

Benar aku masih rasa murung sedikit, bidang tugas lain, langsung tak sama, stakeholder lain sama sekali. Tetapi, kerja kan AMANAH, jadi harus ambil amanah ini sebagai cabaran dalam mendidik diri, mencabar keupayaan sebagai seorang pegawai juga.

Dalam aku dok rasa lemah lemau, aku dikelilingi dengan colleagues yang baik, bossses yang OK, inshaAllah, aku perlu pupuk rasa mariiii untuk kerja sekarang.

Esok Monday, dan aku bersedia!

Senyum, turunkan paras anxiety.

Look at the Blue sky. Indah!


Thursday, May 4, 2017

Bentangkan Aku Permaidani

Permaidani adalah hamparan seni yang memberikan pengertian dari corak yang pelbagai. Ada bunga, ada abstrak, ada klasik ada moden.

Seiring dengan peredaran zaman, ada masa kini banyak corak moden kontemporari di pasaran, tapi kalau ditenung-tenung, yang klasik juga yang cantik.

1 April lepas, kebetulan hari Sabtu, misi mencari karpet aka permaidaini pun dimulakan. Sejuk kaki oi tak letak karpet, dan rumah tampak kosong, sebab dinding pun belum bertebuk, belum bergantung apa-apa dekorasi/gambar.

Kami menuju nilai, sebab tak pernah survey karpet kat Nilai, nak tengok, betul ke cantik, betul ke berkualiti, boleh percaya ke.

Dan tadaaa! Memang banyak sangat, ada Naeem, ada BaryAli, dan sebenarnya bila kami tengok, semua kedai pun macam tauke sama je. Hik hik.

Bagi aku, corak klasik memang tak membosankan, nak nak kalau hitam, tapi warna gelap memang akan mengundang, mengundang nyamuk. pzzpzzzpzzzz sebab istana kami tak la tinggi mana. Jadi kami cari warna bumi, untuk dipadankan dengan warna dinding yang kelabu.

Rata-rata kedai menjual corak klasik, kalau yang moden, ermm tak cantik di mata kami. Since my boyfriend is keen on modern, kami pun pusing-pusing la.

Akhirnya terjumpa di Daggar, kami tak pergi pun ke Carpet Prima, it was huge (2nd time visit for pick up our curtains we went there) dan akan rambang mata. Bulu satu juta ka, dua juta ka, entahla betul ke tidak, banyak karpet dari Turki, dan Belgium.

Tadaaa:

Untuk meja makan

Untuk ruang tamu yang masih belum ada kabinet TV

TIPS:

1. Tau citarasa sendiri, nak moden, nak klasik, tanya diri sendiri dan tengoklah konsep rumah, sebab rumah kami agak kosong, jadi kami pilih yang bercorak tetapi tidak terlalu sarat, dan warna senada. Masih boleh blend together.

2.  Survey je dulu banyak-banyak kedai di Nilai 3 tu. Biar berpeluh keti. Hak hak hak.

3. Feel the buluss. Kalau nak guna lama, carilah yang berkualiti tinggi. Macam design kami beli, 3D, dari satu angle akan nampak cerah, satu angle nampak lebih gelap. My boyfren like it.

4.  Dah dapat yang betul-betuk berkenan, cuba la tawar 70% rendah dari harga dipamer, tak dapat, naikkan sikit 60%, tapi jgn kurang dari 50%. Tawar sampai dapat.

5.   Kalau tak ada yang berkenan, jangan tersepesona dengan harga murah yang lain, sebab nanti sampai rumah, bila hampar, tak kena dengan jiwa, hampa dan rugi duit je beli. Kalau ada design modern yang engkau orang suka, save gambar siap2 dan pergi ke Carpet Prima, kadang-kadang design ada tapi warna kita nak tak ada, jangan risau, custom made pun dia buat.

OK, all in all misi karpet selesai. Yahoooo!!


Tuesday, May 2, 2017

Sesuatu Yang Baharu

Baru ke baharu?

Kalau yang betulnya ialah baharu merujuk baju baharu, kawan baharu, kerja baharu.

Jadi aku merujuk kepada BAHARU- kerja baharu.

Masuk kerja di tempat baharu memang sesuatu yang buat jantung aku dup dap. Suasana semua pun sah-sahla lain. Kawan-kawan yang kenal pun tak ada. Tapi bukanlah menjadi satu masalah sebab selagi kita diberikan peluang, makan terokailah ia. Jangan jadi kera sumbang, cuba untuk buka minda, jadi observer/ pemerhati dulu.

Kerja baharu aku adalah sesuatu yang sangat lain dari bidang sebelumnya, tetapi, mungkin ada sesuatu Tuhan nak aku jumpa dalam bidang baharu ini, jenis-jenis manusia yang beza dari sebelum ini. Mengeluh tidak cuma cuak sedikit.

Sebenarnya banyak perkara-perkara besar yang jadi pada aku pada tahun 2017. Seharusnya nikmat-nikmat yang Tuhan kurnia ini menjadikan aku lebih dekat denganNya. Ujian yang melanda sejak akhir 2015 kini satu demi satu diganti dengan perkara-perkara yang membuatkan aku terharu betapa Tuhan itu Maha Berkuasa atas segala-galanya.

Ia manusia memang tamak. Aku juga, bukan kita mahu setakat itu ini, tapi kita mahu SEMUA. Seperti yang kawan aku cakap, "no babe, human want evertyhing!"

Exactly, memang betul, manusia mahu semua. Boleh, selagi kita punya nafsu, punya keinginan, dan kita hidup, memang kita mahu semua.

Usaha, Doa, Tawakal. Ini bukan cliche. Tapi Prinsip yang mesti dipegang dan dipraktikkan.

Berserah dan belajar redha. Redha dengan maksud yang sebenarnya.

Tempat baharu, semoga aku dapat memberikan yang terbaik. Aku mahu lebih positif, lebih terbuka dan lebih empati.

Blue Sky. PERFECT!

Thursday, January 19, 2017

Plaster Ceiling dan Cat

Waktu memang pantas berlalu. Dah nak habis minggu ketiga Januari 2017.

Terkejar-kejar waktu. Masa itu $$$ Kalau perancangan tak ikut masa memang lagi banyak duit bersayap.

Jadi, masuk ke bahagian plaster ceiling dan cat.

Sebab utama nak pasang plaster ceiling sebab nak tanam lampu. Hahaha! Sebab rumah pertama beli, pertama nak merasa rumah sendiri, pertama rasa nak hias sendiri, pertama nak lihat hasil keinginan sendiri. Jadi kami pejam mata masukkan juga bahagian plaster siling dalam belanjawan rumah kami.

Jadi, lepas defect rumah dah dibetulkan, kami mulakan pemasangan plaster siling. Tentulah sebelum kami ambil keputusan dekat 5 ke 6 kontraktor kami cari. Keluasan rumah 1200 kaki persegi dan alang-alang nak buat kami buat satu rumah. Kalau 5 tahun lepas memang boleh dapat rasanya bawah lima ribu. Tapi zaman-zaman mencabar ni memang kena cari betul-betul.

Sebut harga yang kami dapat


  • Kontraktor 1 - plaster ceiling dan wiring RM11,000
  • Kontraktor 2 - plaster ceiling dan wiring RM7.9k
  • Kontraktor 3 - plaster ceiling dan wiring RM8.5k (tak masuk area dapur)
  • Kontraktor 4 - plaster ceiling dan wiring RM6k plus 
  • Kontraktor 5 - plaster ceiling and wiring RM8k ++ (tak sampai 8.5k) with warranty wiring for 3months and warranty untuk plaster ceiling 1 year. Mula-mula x masuk dapur tapi lepas nego, the sales person cakap OK!
Untuk panduan pembaca yang mencari info tentang plaster siling, kos kami buat bersekali dengan wiring, upah, transportation dan pemasangan seluruh rumah, (3 Bilik, dapur, entrance).

Sales person yang kami deal pun bagus, bila bagitahu apa yang kita nak dia reply dgn detail quotation. Hasilnya pun bagus dan Alhamdulillah kami puan hati. Tadaaa!!!


LBox type untuk ruang tamu dan bilik tidur 1. Total lampu yang ditanam tu ialah 23 biji. Sorry aku tak amik port tentang detail lampu. Let the man handle it ok.

Lepas dah siap plaster siling, kami beli cat dan kami guna Jotun. The simple one, x dapat nak ambil Nippon Momento lagi sebab kami kejar masa nak settle sebab more are comings.

OK jumpa lagi!






Wednesday, January 4, 2017

Rumah: Defect

Hallu!

Sebelum sibuk dengan kerja, kita cuba bercerita mengenai rumah. Alhamdulillah bulan November lepas dah dapat kunci rumah. Sebenarnya dah lewat dari sepatutnya Jun 2016,
tapi sebab SNP kami belum cukup 36 bulan terlepas nak merasa LAD. Hehehe. 

Mula-mula dapat kunci, mestilah excited. Rumah baru kan, ada ke orang sedih nak masuk rumah baru? Takda. 

Jadi kami yang tak ada pengalaman ni pergilah masuk rumah, common facilities masa kami masuk mula-mula masih banyak belum siap. 

Jadi untuk periksa defect rumah, seperti yang kau orang baca pengalaman-pengalaman orang lain, mesti bawa pen dan masking tape, senang nak tanda. Untuk ini, suami yang periksa satu-satu dan dekat 2 bulan kami periksa dan report pada Customer Service pemaju. 

Rumah apartment kami ada 4 blok dan setiap blok ada supervisor dari main con yang incharge. Jadi nak bagitau kat sini, mula-mula jumpa SV ni janganlah bersikap kerek. Dia bagitau kami ada owner yang terus bebel-bebel dan marah-marah dengan defect-defect yang ada majority dari common facilities (sebab contractor asal la buat hal) jadi dia pun strict aje dengan owner-owner jenis macam ni. Dengan kami, dia bagitau check dulu rumah, mana defect yang sikit-sikit terus maklum dan dia akan betulkan terus. Nak masuk dalam list report pun x apa. Tapi at least dia boleh segera betulkan. 

Alhamdulillah unit kami tak banyak isu. Ada yang jenis detail satu-satu tile mereka ketul, Ada lagi siap hire checker which will cost you around RM300-400 for 1200sqft. Bagi aku kita boleh buat sendiri, kenapa nak spending money khen? Check betul-betul setiap sudut rumah, pasang air 2 3 jam untuk make sure takda leaking mana-mana. Baik-baik dengan kontraktor tumah tu nanti diorang dengan lapang hati mereka bagi tips ;-) 

Macam rumah kami dah siap pasang heater, bila pergi lagi check untuk minggu ketiga tengok ada leaking. Selagi dalam warranty please make sure semua betul-betul ok. Zaman ekonomi mencabar ni setiap sen perlu kita beri perhatian OK!

Tanda setiap defect dengan masking tape dan nomborkan. Setiap defect tu ambil sekali gambar baru senang kontraktor nak rujuk untuk repair. Untuk ini, biasanya developer dah bagi siap-siap jadual untuk senarai defect, kami dapat dokumen-dokumen ini masa ambil kunci. 

It is not easy moving into a new house. Common understanding between spouse is a MUST. 

Permudahkanlah ya Tuhan..

Friday, December 30, 2016

Penghujung 2016

Walla!!!

30hb Disember 2016

Happy Birthday my dear Alip yang kelima. Ongoh doakan Alip sentiasa dimurahkan rezeki, dalam lindunganNYA dan Alip menjadi orang hebat sehebat Tokti mungkin. InshaAllah Alip sayang. Walaupun asyikla nak gaduh je kan dengan Ongoh. Tapi kacau Alip adalah kepuasan bagi Ongoh. HAHAHA!

Jadi hari ini terakhir bekerja tahun 2016. Alhamdulillah KPI kerja tercapai, tahun ini boleh dianggap biasa, sebab dah masuk tahun kedua di department ini. Tak banyak perubahan, cuma looking forward 2017 akan makin mencabar dengan keadaan ekonomi semasa Malaysia dan dunia.

Alhamdulillah 2016 kami dapat pegang kunci rumah sendiri. Jadi selepas ini akan ada siri penulisan untuk dikongsikan langkah-langkah apa nak buat lepas dah dapat kunci. Keterujaan masuk rumah yang dibeli dengan kekusutan nak fikir nak buat apa benda dulu dengan rumah tu adalah sama banyak. Dan aku terima kasih kepada tuan-tuan, puan-puan yang menulis di blog, sedikit sebanyak perkongsian dan review mengenai perkhidmatan kontraktor dsb dapat membantu.

Buat baik dibalas baik. Jadi aku percaya untuk memeriahkan blog ini semula, aku akan kongsikan pengalaman aku dan Mike masuk rumah baru. InshaAllah review beserta anggaran kos yang kami perlu laburkan/belanjakan supaya yang membaca akan dapat manfaatnya.

Rangka cerita:

1. Periksa kerosakan (defect) rumah
2. Plaster Ceiling
3. Lampu Kipas
4. Wardrobe dan TV Cabinet
5. Cat
6. Perabot utama dan deko-deko bersama Mike
7. Langsir

Sah-sahla bukan kami duduk sini, sini mampu tengok aja


Oh ya, rumah kami jenis apartment :-)

Selamat Tahun Baru 2017 - bersama-samalah kita berusaha untuk berjimat-cermat dan meningkatkan produktiviti dan meluangkan masa yang begitu berharga untuk perkara-perkara yang memberi manfaat.


Tschuss~

Sunday, September 25, 2016

PISHANG

Entah ke manalah pergi idea-idea menulis blog.
Jadi kaku keras.
Dalam kepala fikir macam-macam nak tulis. Topik apa?
Travel
Masakan
Hipster
Selendang mahal

Perbincangan berkaitan buku. Book review?
sebenarnya seorang penulis yang baik itu adalah yang banyak membaca.
tahun 2016 berapa buah buku yang aku dah habiskan?
Hahaha. Nadai. Aku baca separuh-separuh tak dihabiskan buku.
ada orang fast reader, boleh baca 2 buah buku seminggu.
Boleh hadam semua kisah dan penceritaan dalam buku. Aku?

Kaku dan mengeras. Fikiran sempit.
Mungkin aku terlalu menumpu kisah dan perihal pejabat.
Yang mana sangat membosankan buat masa sekarang.
Keseronokan itu hilang
Minat makin pudar
warna-warna makin memucat

Aku toleh ke TV
Abang Bomba, I love you....wt...apalah cerita-cerita zaman sekarang ni. Jadi lagi kusut dan rasa nak mengaum tengok cerita zaman sekarang.

Minggu lepas aku belajar. Kawan pejabat hanya di pejabat. Tak boleh rapatkan jurang. perkongsian hanya perihal pejabat dan kisah peribadi mungkin boleh dikongsi selapis dari beribu-ribu lapis kehidupan. Tak boleh.

Ya memang pishang bila sahabat sejati aku keluar mencari rezeki. pishang. kadang-kadang kami berbalas whatsapp kalau kerja tak minta perhatian dia. Kami kena lebih mencorakkan kehidupan. Jangan terlalu nak menyimpan uang. Uang itu diguna sedikit untuk travel mungkin. Untuk aku dan dia saling lebih kenal, Dan saling hargai apa itu cinta.

Hanya- Melly Goeslow.

Baperrr...


Mungkin kami boleh berspeda atau bermotosikal merentas sawah padi nan menghijau

Jangan lupa syukur.

P/S: Arsenal 3 - Chelsea 0. Haruslah Sabtu aku indah. 

Wednesday, March 2, 2016

Rumusan Februari

Februari bulan istimewa keranan bulan kelahiranku. Kembar Christiano R 5 Feb. Sama tahun. Memang special sungguhla. Hahaha.

5 Feb Alhamdulillah bertambah nombor dan berkurang usia. Sebab kita tak tahu berapa tahun Dia bagi merit untuk kita. Semoga amalan pun makin beratlah di bahu kanan.
Hadiah : Mikey bagi cuppy dan Fossil Preston Flap warna maroon yang sangat cun! Terima kasih bang. Okla kan even birthday abg blm lagi tapi hadiah dah dapat awal. Kuikuikui

23 Feb Innalillahiwainnailaihirojiun...wan pergi menemui pencipta...sesungguhnya menimbulkan rasa insaf..mak mentua aku seorang yang super tabah dan kuat..x setitis pun aku lihat dia menangis..banyak pengorbanan dah dia berikan menjaga bondanya..redha...itu yang aku terjemahkan..

Alhamdulillah..dalam February juga perkembangan kesihatan ayah makin baik. Aku tak pernah jumpa orang sepositif dia. Cuma dgn mak je dia garang..ekekeke..what a lovely lady he married to. Mak aku jenis super sabar. Aku tengah fikir apa nak bagi mak just to make her happy. 

Long hiatus tetapi takkan berhenti berblog. Jadi silent reader untuk few blogs dan blogwalking ke sana ke mari. Sasaran tahun ini ialah home deco. Is it safe to blog about your own house. Zaman sekarang macam-macam. Keinginan yang telah disenaraikan untuk menghias istana sampai pening nak pilih mana..

Whatever. Semoga lepas ni luka2 operate ni cepat sembuh. X sabar aku nak singsing lengan dqn mengemas rumah yang tak semenggah ni dan buat nasi kerabu!!!!

p/s: Lost to MU is very very very painful!

Monday, January 11, 2016

Doa

11 Januari 2016

Tunggu bas, 8:14 pagi bas belum kunjung tiba. Tanpa dijangka, teman sepejabat bagi tumpang kereta. Alhamdulillah, hari ini aku tidak telat. Tak perlu gusar memikirkan ayat untuk memberikan sebab jika lewat. Ahhh...punch ini. Mana kejujuran? Kejar waktu?

Doa, 

Sentiasa berdoa. Untuk diri sendiri, untuk ibu bapa dan keluarga. Dan untuk kawan-kawan, jika aku senang dan bahagia, aku mau orang kelilingku senang dan bahagia juga, tapi jika aku susah, aku mengharapkan doa orang-orang sekelilingku.

Jika dulu, aku cemburu melihat orang lain berjaya. Cemburu dan mempersoalkan kenapa aku tak boleh, tapi kini, menginjak dewasa, aku akan doakan kawan-kawan aku berjaya dalam setiap pekerjaan mereka kerana aku tahu, kawan-kawan yang baik tidak akan pernah melupakan kawan-kawannya juga. 

Kawan berniaga, bagilah sokongan, bukan meminta diskaun
kalau tak membeli pun, tolong promosikan sudah membantu sangat
Hidup dan kebahagiaan perlu dikongsi agar kenikmatan itu lebih terasa

Makan nasi sorang-sorang dengan makan nasi berkongsi, mana lebih mengenyangkan dan lebih nikmat?

p/s: Lanesra, i am dreaming of you

Monday, December 28, 2015

Nota

Biar kali ini aku tulis isinya, tajuk kufikir kemudian. Cita-cita untuk aktif menulis tidak berapa kesampaian kerana mungkin idak bersungguh-sungguh, atau tiada cerita menarik. Aku ini, prinsipnya tidak mahu menulis keluhan, tidak mahu menulis yang negatif, tidak mahu menulis yang boleh melemahkan jiwa pembaca. Aku mengharapkan tulisan aku dapat menceriakan pembaca, dapat menghidupkan jiwa dapat memberi semangat.

Siapa yang baca blog? Ramai yang baca FB, Insta dan blog gossip yang tak habis-habis ceritanya. Kalaulah ada satu blog yang menyerlahkan bakat para artis dari meneroko peribadi artis. Nobody is perfect. Sudah-sudah menyebarluaskan aib. Ya mungkin seseorang tu buka aib sendiri tapi janganlah kita jadi agen penyebar pula.

2015 kita sedar semakin meninggalkan kita. Tahun yang mencabar dari segi geopolitik, ekonomi dan sosial juga. Tapi, adakah kita harus berserah dengan cabaran dan biar dibawa arus, walau kesulitan apa sekalipun yang kita hadapi, wang, hubungan, kesihatan, semua itu pulanglah dan kembalilah kepada Allah, Tuhan yang Maha Esa. Setiap individu walau ditakat manapun kita, majikan, pekerja, ibu bapa, anak, guru, murid, marilah kita tingkatkan ketaqwaan. Kita kurangkan keluhan (nak kata jangan mengeluh aku kadang-kadang terbabas juga, jangan dibebani kepala otak dengan masalah, masalah itu hadir sebagi petunjuk kepada sesuatu (yang mungkin untuk perkara yang lebih baik untuk kita), fikirlah cara menyelesaikannya, satu persatu, bukan fikir jalan penyelesaian untuk semua masalah dengan sekali jalan, memang migrain sebab kita bukan superhero dalam alam khayalan, kita manusia. Bertenang, dan mohon kekuatan dari Dia.

2015 memberi makna besar dalam keluarga aku, ada suka dan ada juga perlu redha dan terus berjuang. Setiap yang terjadi semua sudah ditentukanNya, adalah yang hendak ditunjuk dan diajarkanNYa, ambil masa dan selami makna bagi semua yang terjadi. Nikmati dengan penuh rasa syukur.

Ok, nak cerita sikit tentang MR KLYESFEST baru-baru ini, apa yang aku dapat:

1) Suasana tak seramai MR masa raya - banyak vendor besar tak join
2) Dapat beli blouse ImaanBoutique, CalaQisya dan tudung-tudung cantik dari Marshmellowscarf
3) Beg Goggles aku kena toreh - kunghajooo tapi syukur semua barang selamat, semoga tangan si durjana akan sentiasa panas selagi dia tidak bertaubat dan berhenti buat kerja-kerja yang menyusahkan hidup orang lain
4) Harga taklah murah sangat, kebanyak blouse yang sangatlah biasa RM60 ke atas. Not worth it.
5) Pergilah hari terakhir
6) Kenapa aku pergi? memang aku sengaja sebab pergi dengan Jem, aku bukanlah kaki shopping, jalan-jalan melihat manusia.

Chiow.

p/s; jangan tunduk pada masalah

Friday, September 25, 2015

Serius

Aku termangu apabila diarahkan untuk menulis sebuah ucapan makan malam. Aku bungkam. Otak aku seakan membeku, ayat-ayat yang keluar seperti ayat budak sekolah rendah. Malah aku percaya semasa aku sekolah rendah, karangan aku lebih baik berbanding usia akukini yang telah memasuki fasa 30-an.

Benarlah mereka kata, yang aku baca, kalau mahu jadi penulis yang baik, haruslah banyak membaca dan menulis jangan berhenti. Carilah fokus dalam penulisan, seperti juga pelukis. Ada subjek yang menjadi trademark lukisannya. Contoh seperti yang aku follow di Instagram, subjeknya burung. Pelukis ada sasaran. Melukis 100 jenis burung dengan pelbagai warna, pelbagai kedudukan burung. Tetapi mesti burung.

Jadi bila ada gambar burung, para peminat pasti tahu sekiranya satu-satu lukisan burung itu dilukis oleh pelukis itu atau dari pelukis lain. Secara tidak langsung, pelukis itu memperkenalkan dirinya melalui tulisan.

Aku? Penulisan aku seperti sampah. Ya sampah. Kadang-kadang bila aku baca semula apa yang telah kucurahkan mau kurenyuk-renyuk skrin komputer ini.  Hanya repekan yang tiada isi.
Aku perlu banyak berlatih, dan menulis. Dalam masa yang sama aku juga harus menambah masa untuk membaca. Aku aku mengorbankan waktu tidur ku. Hahaha. Terlintas di fikiran ini kadang-kadang kau menulis ialah untuk memberi pandangan kepada tulisan penulis lain, mengolah satu-satu subjek yang telah ditulis berdasarkan pandangan kau sendiri. Kalau ditekuni mungkin isinya sama tapi cara penyampaian yang lain.

Yang penting, jangan putus asa untuk menulis. Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris bukanlah satu alasan kerana pensyarah Bahasa Inggeris aku pernah memberitahu bahawa 98% Bahasa Melayu boleh diterjemahkan secaran langsung ke Bahasa Inggeris, dengan syarat ayat dalam Bahasa Melayu itu betul strukturnya.


Jadi, dilema aku ialah, ucapan makan malam itu. 

Tuesday, August 25, 2015

Boat Noodle: Bang, macam mana nak order ni?

Weehuu! Salama'laik Readers!
phew..Arsenal sekadar seri dengan Liverpool.


Boat Noodle, apa yang sedap sangat ni? Adik aku upload gambar mangkuk "bertingket-tingket" sedap sangat ke ni? aku dan boyfriend dah 2 kali ke Jaya One school ambil kit larian, 2 kali itu jugalah kami melewati Boat Noodle. Sekadar tengok, kali kedua pergi memang dah niat nak makan tapi sebab gaduh kucing anjing tak jadi makan la. Lagipun tempat penuh masa tu. Rugilah asyik bergaduh kan. Mengerat kasih sayang kan?

#salahsatucabarankawinsamaumur

Jadi, Sabtu lepas kami makan pagi di depan INSPEN, nasi kerabu mok su kalau tak silap aku. (tak snap gambar tapi readers boleh google). Ya Salam...sumpah sedap nasi kerabu dia. Kerabu ikan dia manis dan basah, tak perlu dah sambal tumis. dan tak kedekut pulak tu menjual, sekali ceduk kerabu dia sesenduk amik ko. Sepinggan seorang nasi kerabu pagi itu membuatkan kami kekenyangan sampai ke petang. Disebabkan boyfriend baru balik kerja, jadi dia pun qada la tidur sampai jam 2 lebih. aku pun, tumpang sekaki la tidoq. bosan aih dok cakap soghang-soghang.

Lalu Lepas solat zohor, perut pun bagi isyarat "LAPAR". dan tiba-tiba, teringat Boat Noodle ada di Dpulze Cyberjaya. Dan akhirnya: Ya, we manage to get 1 spot in the tiny restaurant.

Dan selepas itu, kedua-dua kami ala-ala blur sebab: how to order?
Boyfriend pun terus panggil server: Bang, macam mana nak order?
Ternganga budak laki tu? Hahaha, muka Melayu tapi foreigner rupanya..lalu..

How to order, what is recommended here?

Dah habis makan baru aku pusing belakang menu. tisk tisk.


Dia pun terangkan bla bla bla...tak faham aku. Kami pun study menu sikit dan akhirnya pilih

  • Fruit Salad - sangatla Thai rasa dia. jagun-jagun dia sedap. kekacang lagi
  • Ice Green Tea - bagi aku lagi sedap dari Stabak
  • Drink of the Day - Air Longan
  • Pathumthani Beef Rice Noodle
  • Ayutthaya Chicken Rice Noodle
Salad Buah: tomato ceri dan jagung sangatlah win
Ada juga Egg Noodle, tapi mungkin lain kali la rasa. Bagi aku Pathumthani dan Ayutthaya tu beza dia macam teh o dengan teh susu. 1 rasa very light dan 1 macam full sikit. Tapi yang pasti memang la sedap sangat! Dengan 8 mangkuk mee, semangkuk fruid salad, dan drinks, total RM36++. affordable lagi..tapi kalau makan selalu, buat golongan marhaen sepertiku ini mau menipis juga dompet kan. kikiki. 




Semangkuk mi untuk 2 suapan/1 suapan yang bermulut besau adalah RM1.90++ sahaja


Sekali sedut saja 
Green Tea
Gambar sekadar kenangan. (still strugling dengan template blog..phew..)

Chow...





Monday, August 17, 2015

Bibir Merekah, Kehitaman, Luka

Salama'laik Readers!

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, hari ini rasa fresh. Fresh dan Fresh. Hidup jangan menyusahkan orang. Tak kiralah serapat manapun, tapi mana yang boleh buat sendiri buat sendiri. Satisfaction.

Ikhlas itu rahsia.

Aku memang berazam sewaktu aku hidupkan balik blog ni dengan entri-entri aku mau ia jadi sesuatu yang bermanfaat. sukat tahap manfaat tu memang sukar untuk dinilai tapi sekurang-kurangnya ada perkongsian yang bagus.

Jadi untuk kali ini aku nak cerita mengenai bibir. Bibir adalah sebahagian dari mulut. Kulit di bibir nipis amat, cuba kalau luka sikit, merana hidup. Kisah bibir ini terjadi sekitar Julai/Ogos tahun lepas.

Aku tak tahu punca sebenar tapi aku syak dari sebatang lipstik. memang haru hidupku. Lepas aku pakai bibir jadi kering sekeringnya, bila dah kering sudah tentulah jadi merekah-rekah dan akhirnya luka. lama juga Vaseline tak berenggang dengan aku. tengok bibir makin hitam kalah orang isap rokok T_T.

Garam, citrus fruits memang tak geng masa ni, sebab bila kena kat bibir, jadi kering dan sangat tak selesa.

Jadi aku pun ke farmasi, beli satu tube kecil as advised by the pharmacist. Tapi sedey, tak jalan jugak. Akhirnya ke Klinik. Doktor bagi antibiotik dan lip balm. dan Alhamdulillah selepas dekat setahun derita, bibir ini sudah kurang keringnya. cubalah bagi sesiapa yang ada masalah yang sama.
Lip ointment ada rasa mint sejuk je rasa.

Aku tak tahu harga berapa sebab amik di klinik 

p/s: Kadang-kadang sepi itu damai

Friday, July 31, 2015

Warna Firus

Salam'alaik Readers!

Sebenarnya aku baru lepas jatuh terduduk sebab kecuaian sendiri. Handphone di tangan, dan aku ingat kerusi dah menghadap ke depan, dengan yakin aku melabuhkan punggung, dan gedebuk! Tergolek T_T mujurlah tak ada hentakan kuat. Kesian baby (eh, berangan kejap, manala tau hari Jumaat ini memang makbul doa kami selama ini kan. ;-) )

Bila aku timbangkan untuk terus berblogging, semestinya setiap waktu aku memikirkan perkara-perkara yang boleh aku kongsikan. Seboleh-bolehnya aku nak tulis benda-benda positif aje, sebab too much negativity takkan bantu aku untuk menjadi orang yang lebih baik.

Walaupun semalam ada yang menyampaikan, aku ni tak bergaul, tapi bagi aku itu adalah masalah orang perempuan dan mereka bukanlah teman rapat aku. Tak bergaul dengan tergolong dalam geng mengumpat mana lebih baik?

Tapi, aku tidaklah kera sumbang, kurang-kurangnya dalam department ini aku kenal semua orang. Ia masalah cuma aku tak join "klik" diorang makan tengah hari, sembang santai aje. Well i have too much things to think about. Layankan ajelah gossip itu, aku dah 30 tahun dan bukan mencari seteru dalam kehidupan.

Firus,
Hijau Firus warna baju dan "sedondon" dengan warna payung
aku berjanji temu dengan suami
hari bekerja
makan tengah hari bersama
tiba masa untuk aku berjalan kaki pulang ke pejabat
yang jaraknya hanya 10 minit berjalan
saat itu hujan turun
gerimis membawa ke lebat
kalau aku terusan tunggu aku akan lewat
kalau aku redah aku akan kuyup
"abang belikan sayang payung ok"
lalu payung Giordano dengan diskaun 10% sebab beli pada hari hujan ini menjadi "standby" di pejabat
terima kasih chienta. kekeke

Tuesday, July 28, 2015

2nd Half 2015

Salama'laik Readers!

Jun berlalu, Ramadan berlalu (semoga boleh menikmati lagi Ramadan), dan Julai pun dah di penghujung. Tahun 2015, aku mahu jadi tahun yang suka kerana tahun 2014 tahun yang banyak mengajar. Jadi tahun 2015 azamnya menulis posting di blog ini. 

Jadi bagaimana sambutan hari raya kalian?

Pertama kali sambut raya dengan suami/isteri? - Kami dah tahun keempat. melihat transformasi/evolusi gambar hari raya kami membuktikan kami mengembang seiiring tahun T_T

Pertama kali sambut raya dengan anak? - Kami masih berusaha dan berterusan berdoa. Update di berita hari ini, tahap kesuburan wanita Malaysia menurun. (Doa lagi dan lagi dan lagi. Baby baby baby babies twin twin twin. hehehe)

Pertama kali beraya tanpa orang tersayang? - Semoga Tuhan sentiasa merahmati usia kedua ibu bapaku dan mertuaku. Semoga Tuhan memberikan lebih lama perluang dan masa bersama mereka. Insha Allah. 

atau....

Pertama kali masak rendang? - itu aku. yiiihaaa...
Aku tanya mak aje resipi rendang dan mak pun memang google aje. Hahaha. Kami orang Kelantan, jadi menu utama hari raya kebiasaanya Nasi Dagang, Nasi Kapit (read Himpit). rendang-rendang ni bila dah ramai ahli keluarga menikah dengan orang luar (maksudnya bukan asal Kelantan la) jadi seiiring dengan percampuran budaya makanya rendang pun semakin digemari dalam kalangan ahli keluarga kami. (the beauty of our country Malaysia with 14 states is the the variety of fooood! Alhamdulillah ).Resipi rendang berlambak-lambak, thank you to those blogger chef, besar pahalanya kan..jadi aku pun kongsikan gambar rendang aku masak di sini. Preety good bila suami boleh telan dan menikmai daging rendang ini. 

Sebab aku teruja masak rendang ialah:
1- cabar diri sendiri untuk masak benda yang aku tak pernah buat
2- mentua masak dua round rendang dan malam ghaye kami makan dengan kenikmatan yang tak tergambar. rendang panas-panas lagi tu. 
3- jeles meh mak aku pos gambar rendang dia. Busu like it to the max dan aku belum rasa lagi. 

jadi terusla berwhasapp text/call dgn mak untuk cuba berendang-rendang dengan ketupat palas yang awal-awal lagi dah diimport dari kakak ipar. TQ Kak Long!

Easy Peasy. Ikut aje resipi, kalau kreatif korang boleh alter mengikut cita rasa masing-masing. 

dan...tadaaaa!!


Looking at daun kunyit yang ijau tu make me feel so fresh

What are you waiting for? NGAP!

p/s: The Gunners, we will meet in August. InshaAllah ;)

p/p/s: masih gigih mencari blog template, dulu aku rajin godek script tkr template, masukkan pic background, buat banner. dowh..time flies ilmu tak amal pun fade away..



Wednesday, July 8, 2015

Lala lalaland

Rohit loves Naina
Naina loves Aman
Aha! Welcome to lalaland ~ Rohit, Kal Ho Naa Ho

Salam 'alaik readers!

Kita teruskan dengan tujuan posting kali ini, mari masak lala. Semalam punya menu sebab dah ada bawal jadi kita cari satu lauk lagi. Perancangan asal ialah:

Bawal Emas Kukus/Stim - resipi sudah di kongsi sebelum ini, cari aje la dalam blog okeh
Telur Dadar
Lala Tumis Halia
Sawi goreng

End Up jadi:
Bawal Emas, Telur Dadar dan Lala Tumis Halia Bersawi. LOL. sebab sawi dimasukkan dalam lala ialah suami macam concern dengan masa masa tu dah 715mlm. tak nak menunggu ye da. lagi pun nak goreng sawi pun bahan-bahan lebih kurang dengan lala. yang utama sos tiram la khen..so, here is the recipe:

Bahan-bahan:
1. Halia - potong panjang-panjang
2. Serai diketuk
3. Bawang Putih
4. Sos Tiram
5. Of course la lala kan
6. Cili giling/cilil boh (optional)
7. Cili padi - dihirirs (optional)
8. Sawi ;p

Cara-cara:
 1. Tumis bawang putih, halia dan serai
2. Masukkan satu sudu cili boh.

Tumislah mereka sampai naik bau

3. Masukkan sos tiram, 2 sudu besar, then masukkanlah air sikit nak bagi berkuah.
4. Lala dah dekat nak masakkan masukkanlah sawi.
5. tadda Done!

hahah 2 in 1 resipi

Tak perlu garam dah, sos tiram sudah cukup

Beli lala dapat sepinggan lauk penuh RM2.20 aje dik. Kalau beli mau la 3 4 kali ganda harganya. Xpandai masak dengan malas masak memberi makna yang beda yach.

Sekian.

p/s: Cepatnya masa berlalu ;(

Monday, July 6, 2015

Lelakiku

Salam 'alaik reader! 

Gituhh tajuk entri hari ni. Sesekali aku bicara mengenai lelakiku. 

Laki-lakiku sejak aku lahir : Apak, Abang, dan bila umur 14 tahun bertambah lagi seorang, si Bongsu yang debab betul. Hahaha. (Rindu debab masa kecil selalu cium pipi kakak. Sekarang macam gergasi. ;p)

Laki-laki, 

Aku sekolah campur, jadi kawan-kawan ada laki-laki, ada perempuan, kawan-kawan rapat aka geng masa sekolah rendah pun ada laki-laki ada perempuan. Persabahatan kami mulus dan suci, tiada melebihi batas. Memang betul-betul kwn. 

1998 - aku mengembara ke timur. untuk mencari ilmu. 3 tahun yang penuh makna. berkelana dan impak kepada kehidupan aku sangat-sangat tinggi. Macam-macam rencah terjadi dalam 3 tahun tu. kawan sejati? Question mark. Aku pun tak tahu, tapi ada la 2 3 orang yang aku masih lagi keep in touch. Aku ingat diorang, diorang ingat aku. ada tu aku aje yang ingat diorang, aku aje yang kena tanya khabar, aku aje yang kena mulakan, last-last, aku jadi why bother why bother, masing-masing ada kehidupan. Aku pun dengan kehidupan aku. Yang kadang-kadang sibuk, kadang-kadang bosan gaban tak tahu nak buat ape. 

Secara jujurnya, aku betul-betul perasan lelaki itu tahun 1999. Dia 2 Bistari, aku 2 Ehsan, Dia keding, putih dan jalan lenggang, iyela, keding kan. pinggang macam pinggang kerengga kooo. LOL! Aku ingat aku dan Ratena panggil dia sotong, lemah gemalai sangat, dan aku ingat saat dia berlakon drama jadi anak yang akhirnya bertaubat dari najis dadah selepas doa ibu. Gilo aku tak percaya dia pegang watak utama (tak tau kenapa aku tersenyum saat menaip). Dia memang senyap. Dalam kumpulan laki-laki di sekolah dia tergolong dalam budak yang tak berapa glamour. tapi sebab nama dia lebih kurang dengan nama bedak budak kecik, so kami pun selalulah nyanyi carrie junior

Tingkata 3, kehadiran dia makin dirasai. 2 momen yang aku paling ingat 

  1. Kami terpilih ke SuZon (Sukan Zon MRSM) di Pasir Tumbuh, dia wakil bola dan aku wakil netball (Macam putus nyawa main netball, penat dan kalah. mampoo? hahahah ). Tapi sayang, sebab kawan dia undur diri dari SuZon, dan tempat dia digantikan oleh orang lain. dan Orang lain ni pulak, pernah waktu Tingkatan 1, budak kelas orang lain ni bagitau orang lain ni kirim salam kat aku. (Lelakiku pernah cemburu sampai tak balas YM aku). Masa training kawad dan koir untuk SuZon ni memang aku aim nak mengacau dia. bukan mengorat, tapi mengusik sebab dia jejaka sopan. wow! tapi itulah, x menjadi sebab baik sangat tarik diri, padahal dia tak tau waktu ke pasir tumbuh la seronok habis budak-budak sekolah aku flirt dengan budak-budak dari maktab lain. aku? naa just enjoy the game. aku hitam kot
  2. Waktu dia berlakon, dalam group budak nakal dan dia pakai seluar khakis. dan dia baling kertas kat heroin kelas dia. Dia 3 Dinamis, Aku 3 Cemerlang yang memang cemerlang sungguh.
Lain-lain, sorry, tak perasan. Aku sibuk dengan geng aku, aku sibuk jadi remaja yang gigih bersukan dan menikmati segenap ruang sekolah.

2003 - 2006 Aku menumpukan sepenuh perhatian untuk Dip Enjin. Berawek, bermarka tidak wujud dalam diari aku. 

Cuma,,,aku penah tanamkan dalam hati, untuk bernikah dengan teman sekolah, tidak kira waktu sekolah rendah, menengah rendah atau menengah atas. 

Sampaila tahun 2006. 23 Julai 2006. friendster message. seseorang message aku " Sapo ni eh?"

Bila aku tengok profil FS. Uish! Budak ni message aku. Aku rasa dia memang dah kenal aku lagi mau tanya aku siapa. Aku pun membalas message itu and the rest is history...

Lelakiku, suka sotong kurang suka udang, hisap rokok tapi diam-diam (memang aku geram betul part ni), suka karipap x suka kuih lembik-lembik, banyak lagi list . oh ya, dia tk pernah makan nasi air kelate dan bila mak mentua dia buat mmg dia suka dan Alhamdulillah isteri dia pun boleh buat sehingga bermangkuk-mangkuk dia makan. the best thing is when looking at his expression bila aku masak sedap, it is so membahagiakan. 

Dan untuk raya kali ini, kami setuju belikan sampin untuk dia sebab....masa kawen pinjam orang je. lol! (gambar kawen kami mmg lawak macam anak-anak kecik main kawen-kawen. hahahha). 


2 3 kali pusing Pasar Payang sebelum ambil keputusan beli. Sebab utama ialah adik seller memang begitu peramah, dan penerangan mengenai sampin yang sangatlah terperinci. Terima kasih Rahul.  

Doaku untuk lelakiku, semoga dilindungiNya selalu dan kita sama-sama belajar  untuk menjadi hamba yang baik kepada Empunya Alam. Dan semoga kisah kita akan sampai ke tempat yang diidam oleh para solihin...

P/S: Dia Manchester United, Aku Arsenal. 



Friday, July 3, 2015

Pulang Bermalam - Aku syahdu

Pulang bermalam. Istilah bila dapat pulang hujung minggu. Seingat aku bukan sebulan sekali, mungkin tiga bulan sekali dapat balik rumah. Terengganu, or to be exact, Dungun - Kuala Lumpur bukanlah satu jarak yang dekat. Jadi, muka-muka familiar yang akan jadi penunggu di asrama ialah muka aku. Tengok dan babi babai orang balik je lah.. (lepas baca balik terkezut mak apa yang aku tulih babi nih. Hahaha. Tertinggal "a" ghupenye )

Tingkatan 1, aku ditempatkan di dorm SAM. (Siti Aminah). Alhamdulillah, panjat 2 anak tangga sampaila aku masuk dorm, tak perlu memanjat tangga. Dorm yang paling dekat dengan Dewan Selera dan Bilik TV lama sebelum Bilik TV dipindahkan ke Dorm Sumaiyyah dan Bilik TV lama jadi ape eh? tak ingat dah. Dan yang penting, SAM juga paling dekat dengan public phone yang menjadi teman setia aku. Memang berkoyan-koyan phone kad aku guna untuk call rumah. Mahal wei. RM10 boleh la 2 3 kali telefon rumah. Kemudian, up sikit ada telefon reverse charge, warna kuning. ekekek, suka sangat sebab mak pak yang bayar bil. ;p 

Seingat aku, nama dorm:

  • Siti Aminah - SAM
  • Siti Zulaikha - SZ
  • Fatimah Az Zahrah - FAZ
  • Umi Kalsom - UK, wow, jauh gila khen. ekeke
  • Siti Aishah - SA
  • Zainab - ZA
  • Siti Khadijah - SK
  • Sumaiyyah - tak digunakan, jadi stor, tiba-tiba teringat makcik yang bersihkan kawasan, kami panggil, Che De. Kecil molek orangnya. 


Selalunya, bila waktu plang bermalam, adala dalam 30 orang lebih yang tak balik. Faktor utama, jauh, macam tak berbaloi nak balik 3h2m itupun, 3h2m dah termasuk waktu perjalanan, tolak la satu hari. Jadi baik aku stay, boleh jalan-jalan kat Pantai Teluk Lipat, hirup angin laut, menikmati keindahanNya, takpun kalau ada "partner" dari dorm seberang, main ping-pong di DS sebab kadang-kadang, Ust Weil akan turun join main ping-pong. Waktu ni warden-warden akan bagi special care untuk kitorang yang tak balik, contohnya bawak kitorang ramai-ramai gi berkelah, takpun setakat Telok Gadong pun dah ok. Usha abang ensem UiTM khennn. ;)

(Betapa kehidupan dahulu sangat hidup sebab kita lebih rapat dengan alam, Teknologi keterlaluan memang membunuh. Membunuh "rasa")

Apa yang menarik bila kau tak balik sedangkan kawan-kawan lain balik, ialah setiap hari Sabtu malam Ahad, bersedia untuk PESTA!! selalunya masa ni memang ramai tak pandang dewan makan la sebab masing-masing dah dibekalkan lauk-pauk, buah-buahan untuk sama-sama share dengan kawan-kawan yang tak balik. Indahnya kan, saat berkongsi makanan, berkongsi kasih jugakla khen. Hahaha. Dan paling aku ingat masa dorm SAM, ramai sangat bawak buah. RAMBUTAN. Subhanallah, dengan manis buah rambutan tu aku makan sungguh-sungguh. Lupa kan, buah itu boleh bantu penghadaman. Lalu...tepat jam sebelas, ramai-ramai berkumpul di tengah dorm dan mengalunkan zikir dan almaulhusna..untuk kesejahteraan..dan setelah doa tidur dibacakan, bersurailah kami ke katil masing-masing...dan semuanya mula menganyam mimpi indah...

3pagi...gruk gruk grukkk...alamak...memulas....buka mata toleh kiri, toleh kanan teman-teman semua lena sungguh. Tak sampai hati minta teman...grukkk grukkk...oh tidakkk!!!lalu aku kuatkan azam...keluar dorm dan pejam mata berlari laju ke tandas. Fuhhhhh legaaaaaa...korang mesti tau kan perasaan macam mana. perasaan dia MERDEKA!!! hahaha..tapi tak habis kat situ je...masa memerut memang tak fikir apa dah kan..tapi bila dah selesai camno aku nak balik dorm. to be honest, jarak di dekat je..tapi waktu tu lah aku teringat lagu mama carry baby, hantu jepun berkawad... makkkk tolonggg....lalu...aku perkemaskan kain, selipar..keluar je tandas tak toleh dah. zappppp masuk dorm dan..bam! zzzzzzz........

pelan kedudukan dorm setakat yang aku ingat

Ada lagi peristiwa lain masa pulang bermalam. Kisah Hakim demam, Ratna, Syeikh, Esoh dan lain-lain. Menceroboh???? Ada mood kita tulis lagi. Dadaaaa!!

p/s: pernah dapat bunga dan coklat masa Tingkatan 4. Kau ada bagi bunga kat aku tak?